Nurul Salwa
Al-Fateh. Pertemuan pertama kali dengan wanita hebat seperti Nurul Salwa
Al-Fateh pasti tidak mampu dilupakan. Pelajar perundangan syariah yang sangat
hebat tentang hukum agama. Penegak keadilan. Pembanteras kezaliman. Begitu
tabik aku kepada Nurul Salwa Al-Fateh. Namun apa yang pasti, wanita ini
sebenarnya amat sukar untuk didekati. Terlalu sukar. Wanita yang begitu sibuk
beribadah dan berhubung dengan kekasihNya menyebabkan dia sentiasa menyendiri
daripada kelompok manusia yang sibuk dengan kehidupan sosial masing-masing.
Jika
dibandingkan aku dan Nurul Salwa Al-Fateh, terlalu jauh perbezaan kami berdua.
Hidup Nurul Salwa Al-Fateh begitu mengikut syariat padahal aku pula banyak
melanggarnya. Jauh di sudut hatiku, aku mahu memiliki Nurul Salwa Al-Fateh itu.
Aku seperti telah jatuh hati pada wanita yang hujung namanya Al-Fateh itu.
Tapi, bolehkah aku memilikinya? Sedangkan kehidupan kami berdua saja sudah
boleh membezakan aku yang jahat dan dia yang baik. Hati ini sukar untuk
dijangka. Bila aku tidak memerlukan cinta, ia datang menyinggah. Bila
diperlukan, ia tidak mahu datang. Itulah lumrahnya perkataan yang bernama
cinta.
Tetapi pada
suatu hari, terjadi satu peristiwa yang telah mengubah kehidupanku. Aku bertemu
Nurul Salwa Al-Fateh. Pada ketika itu, dia berada di perpustakaan kampus dan
pada waktu yang sama, aku sedang mencari bahan rujukan untuk menyiapkan kerja
khusus yang diberikan oleh pensyarah. Tiba-tiba, Nurul Salwa Al-Fateh memberi
salam dan meminta aku mengambil buku yang berada tidak jauh dari tempat aku
berdiri. Aku begitu terkejut dan terpegun dengan keindahan Nurul Salwa
Al-Fateh. Memang benar kata para pelajar di sini, dia pelajar yang luar biasa.
“Errr…
Encik? Boleh ambilkan saya buku yang tidak jauh dari tempat encik berdiri?”
Aku pun
mengambil buku tersebut setelah lamunan aku terhenti. Aku memberanikan diri
untuk bertanya padanya adakah betul dia Nurul Salwa Al-Fateh. Dia tersenyum.
Aku sungguh terpukau dengan senyuman manis bersama lesung pipitnya itu. Nurul
Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berlalu seraya meninggalkan aku salam.
Hatiku berdebar-debar. Aura Nurul Salwa Al-Fateh masih bersama denganku. Sejak
dari itu, aku mula kerap ke perpustakaan agar sentiasa bertemu wanita hebat
itu.
Ke mana
saja dia pergi, aku pun mengikutinya. Segala aktiviti Nurul Salwa Al-Fateh
sentiasa aku ketahui. Sifat peribadinya tiada beza seperti Saidatina Fatimah
Az-Zahra. Mungkin aku boleh samakan dia dengan Ummu Abiha itu. Nurul Salwa
Al-Fateh sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid dan mengikuti
aktiviti kebajikan. Sedikit demi sedikit, aku telah berubah. Dahulu gaya
hidupku terlalu kebaratan. Di dalam rumahku ini aku sedar tiada sedikit pun
sinar Islam. Botol arak tersimpan kemas di dalam almari. Maksiat bermaharajalela
di rumah ini. Aku sangat berasa jahil dan sememangnya aku jahil dalam bab
agama. Aku ingin berubah menjadi yang lebih baik. Aku tidak mahu tersesat di
jalan yang lagi menyesatkan ini. Namun pada siapa harus aku bertemu?
Sedang
asyik aku duduk di tasik buatan kampus, hadirnya wanita idaman semua lelaki.
Nurul Salwa Al-Fateh bersama beberapa temannya menyapaku. Mungkin dia terlihat
aku di dalam masalah. Entah bagaimana dia boleh tahu tentang masalah yang
dihadapiku ini. Nurul Salwa Al-Fateh menyerahkan sekeping kertas yang tercatat
padanya nama dan nombor telefon seseorang. Dia meminta aku untuk berjumpa
dengan orang tersebut. Kemudian dia pun pergi bersama-sama rakannya dengan
meninggalkan aku salam. Tanpa melengah-lengahkan masa, aku mengeluarkan telefon
bimbit lalu mendail nombor tersebut. Perbualan antara aku dan Ustaz Muhammad
tidaklah panjang. Aku hanya meminta untuk berjumpa.
Pada malam
itu, aku berjumpa Ustaz Muhammad di sebuah masjid tidak jauh daripada
kediamanku. Aku menceritakan segala kisah hidupku dan meminta Ustaz Muhammad
membimbingku. Dengan hati yang besar, Ustaz Muhammad menerimaku sebagai anak
didiknya. Kini aku mampu tersenyum. Aku mula belajar untuk mengambil wuduk
kemudian solat. Setelah itu aku mula membaca surah-surah lazim. Bermula dengan
surah Al-Fatihah dan 3 surah Qul. Dalam masa beberapa hari aku sudah
menguasainya. Aku umpama bayi. Bayi yang mula-mula hanya tahu merangkak. Cuba
berdiri dan berjalan tetapi pada suatu saat, aku tersungkur. Walaupun sering
aku rasa kesakitan, tapi aku tidak mengalah. Aku berdiri lagi dan berjalan
perlahan-lahan. Alhamdulilah, sekarang aku mampu melaksanakan perintah Allah
yang menjadi perkara yang pertama dihisab di alam barzakh, solat.
Usai saja
solat Zohor di masjid kampus, aku terserempak dengan Nurul Salwa Al-Fateh. Aku
menyapanya dengan memberi salam. Nurul Salwa Al-Fateh yang ketika itu bersama
temannya memalingkan wajah ke belakang dan menjawab salam yang aku berikan. Aku
mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menemukan aku kepada Ustaz
Muhammad. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berkata dia hanya
membantu mempertemukan saja aku dan Ustaz Muhammad. Tidak lebih daripada itu.
Ya Allah, wanita di hadapanku ini sungguh merendah diri. Sebelum meminta diri,
aku sekali lagi mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepadanya. Aku
pun pergi meninggalkan Nurul Salwa Al-Fateh dengan sebuah senyuman yang telah
aku khaskan buatnya.
Beberapa
hari kemudian, aku mendapat khabar Nurul Salwa Al-Fateh dilamar oleh seorang
ustaz. Ustaz Salahuddin Al-Ayyubi. Bekas pelajar Universiti Al Azhar. Tetapi
ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Ramai lelaki yang telah cuba melamar Nurul
Salwa Al-Fateh tetapi kesemuanya pulang dengan hampa kerana lamaran
masing-masing telah ditolak olehnya. Lelaki-lelaki yang melamar Nurul Salwa
Al-Fateh bukan calang-calang orang. Kesemuanya kuat agama dan merupakan anak
orang berada. Di hatiku timbul satu soalan: Siapakah yang boleh mendapatkan
Nurul Salwa Al-Fateh itu?
Seperti
biasa, aku akan berada di masjid bersama-sama Ustaz Muhammad pada setiap malam
Jumaat. Mengaji Al-Quran bersama dengannya. Memperbetulkan tajwid jika aku
tersalah. Malam itu, aku merasakan bacaanku semuanya tidak betul sehingga Ustaz
Muhammad menjadi hairan. Apakah yang bermain di fikiranku sebenarnya? Mengapa
setiap bacaanku menjadi salah?
Ustaz
Muhammad meminta aku berhenti membaca. Takut jika aku terus membaca, banyak
lagi kesalahan yang aku lakukan. Aku rasa gundah gulana. Wajah Nurul Salwa
Al-Fateh bermain di minda. Patut saja aku tidak boleh membaca al-Quran dengan
baik. Ustaz Muhammad bertanya kepadaku andai aku mempunyai masalah. Aku telah
menganggap Ustaz Muhammad seperti ayahku sendiri dan begitu senang untuk aku
bercerita kepadanya. Aku menceritakan kepadanya mengenai Nurul Salwa Al-Fateh
itu. Ketika aku bercerita, aku tidak mahu menyebut nama Nurul Salwa Al-Fateh.
“Kenapa
tidak cuba untuk melamar wanita itu?” soal Ustaz Muhammad. Aku yang bersandar
pada dinding masjid tersenyum.
“Saya dan
wanita itu umpama langit dan bumi. Bagaimana untuk saya melamar wanita solehah
itu padahal sebelum saya, ramai lelaki yang telah pulang dengan hampa kerana
lamaran sudah ditolak. Jika saya yang pergi melamarnya, sudah pasti ditolak
oleh wanita itu,” jawabku. Tiba-tiba Ustaz Muhammad ketawa.
“Bagaimana
kamu tahu kamu ditolak oleh wanita itu padahal kamu belum mencubanya? Belum
cuba, kamu sendiri tidak akan tahu keputusannya bagaimana. Mungkin wanita itu
akan menerima kamu sebagai suaminya,” kata Ustaz Muhammad. Aku terdiam. Ada
benarnya juga kata Ustaz Muhammad.
Kemudian
Ustaz Muhammad menceritakan kisah Saidina Ali bin Abi Talib dan Saidatina
Fatimah Az-Zahra. Aku mendengar penuh khsuyuk cerita yang diceritakan oleh
Ustaz Muhammad. Cinta diam itu hanya dipendamkan kerana takut melebihi cinta
kepada Allah. Namun cinta mereka itu disatukan juga. Aku begitu kagum kepada
Saidina Ali bin Abi Talib yang begitu sabar bagi menunggu cintanya.
“Namun saya
bukan Saidina Ali, ustaz. Saya hanyalah hamba Allah yang serba kekurangan. Saya
mungkin tidak layak untuk wanita itu. Wanita itu terlalu baik dan solehah. Dia
mungkin layak untuk orang lain. Bukan saya, ustaz,” kataku kepada Ustaz
Muhammad.
“Jika kamu
bukan Saidina Ali, wanita itu juga bukan Saidatina Fatimah. Terlalu awal untuk
berputus asa. Cubalah dahulu. Aku yakin kamu pasti akan memiliki wanita solehah
itu.” Kata-kata Ustaz Muhammad memberi aku semangat. Aku perlu mencuba dahulu
agar mengetahui jawapannya. Aku melakukan solat hajat dan solat istikarah. Jika
lamaranku ditolak, aku redha. Aku tahu aku tidak layak buat Nurul Salwa
Al-Fateh.
Berbekalkan
doa, aku memberanikan diri berjumpa orang tua Nurul Salwa Al-Fateh. Semasa aku
bertemu orang tua Nurul Salwa Al-Fateh, aku begitu terkejut besar sehingga
menyebabkan aku tidak dapat berkata-kata. Lelaki yang menjadi ayah kepada Nurul
Salwa Al-Fateh itu adalah Ustaz Muhammad. Kedatanganku disambut dengan penuh
gembira oleh Ustaz Muhammad. Aku berasa seperti dalam mimpi!
“Apakah
kedatanganmu ke rumahku ini anak muda?” soal Ustaz Muhammad. Aku menjadi
sedikit gementar. Ragu-ragu untuk meluahkan apa yang sudah tersirat di hati.
Aku menarik nafas.
“Maaf kalau
saya mengganggu ustaz, tetapi kedatangan saya ke sini membawa hajat yang besar.
Saya tahu saya bakal ditolak tetapi saya mahu mencubanya dahulu. Saya ingin
melamar Nurul Salwa Al-Fateh menjadi isteri saya. Menjadi peneman hidup saya,”
kata aku menyatakan kedatanganku kepada Ustaz Muhammad.
“Persoalan
yang bermain di minda dan di hatimmu itu bakal dijawab sendiri oleh Nurul Salwa
Al-Fateh. Andai dia menerima, aku juga akan menerima. Andai ditolak, redhakan
saja,” kata Ustaz Muhammad. Aku hanya menganggukkan kepala. Ustaz Muhammad pun
memanggil Nurul Salwa Al-Fateh ke ruang tamu dan bertanya kepadanya sama ada
dia menerima lamaranku atau menolaknya. Aku perlu bersedia.
“Abah,
Salwa pernah mendengar ada lelaki yang mengatakan dia bukan sehebat Saidina Ali
kerana kehebatan cinta Saidina Ali kepada puteri Rasulullah SAW. Sedangkan
Salwa juga bukanlah Saidatina Fatimah Az-Zahra. Salwa juga ada kekurangannya.
Setiap hari Salwa menunggu lelaki itu melamar, namun hampa. Sehinggalah hari
ini, penantian Salwa telah tamat, abah. Lelaki itu hadir juga dan lelaki yang
Salwa maksudkan adalah Muhammad Zoriffudin. Lelaki yang menjadi anak didik
abah. Dengan itu, Salwa menerima lamaran lelaki yang ada di hadapan abah,”
jawab Nurul Salwa Al-Fateh. Aku rasa begitu gembira sehingga melakukan sujud
syukur. Ya Allah, terima kasih!
Siapa
menyangka penghujungnya indah? Aku yang dahulunya berfikiran akan ditolak oleh
Nurul Salwa Al-Fateh, tetapi diterima lamaranku. Aku bukanlah sehebat
lelaki-lelaki lain yang bekerjaya tinggi dan luas ilmu agama. Aku masih lagi
dalam keadaan kekurangan. Kekurangan kerana tiada yang mengembalikan tulang
rusukku yang hilang. Aku yang perlu mencarinya kembali dan akhirnya aku
menjumpainya. Bertemu kembali tulang rusukku yang hilang dan tulang rusukku itu
adalah Nurul Salwa Al-Fateh binti Muhammad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan